Ketaksetujuan Aksara Syawi

Beberapa ketaksetujuan telah timbul dalam kalangan masyarakat aksara Syawi mengenai penetapan simbol–bunyi, yang sering menjadi perkara perbalahan. Terutamanya, hal ini telah dikaitkan dengan dakwaan keterbalikan dua pasang huruf.

Keterbalikan Haha-Hung

Ketaksetujuan keterbalikan huruf yang paling kerap berlaku adalah mengenai pasangan Haha–Hung. Bukti yang paling meyakinkan yang menunjukkan keterbalikan ini adalah pada nama huruf: Huruf Haha (yang tidak disuarakan) bersifat dalam, manakala Hung (yang disuarakan), yang tampak berkedudukan lebih rendah, adalah bersifat tinggi. Hal ini sering dianggap sebagai silap sunting yang diperkenalkan dalam percetakan Androcles and the Lion suntingan aksara Syawi yang tergegas. Keterbalikan ini mengaburkan sistem huruf tinggi sebagai konsonan tanpa suara dan huruf dalam sebagai konsonan bersuara.

Namun, para penyokong aksara Syawi tradisional telah mencadangkan bahawa Kingsley Read mungkin tidak bermaksud untuk sistem ini merangkumi segala perkara, walaupun tampaknya kedudukan menegak sahaja bertujuan sebegini pada versi aksara Syawi yang lebih awal, sebelum putaran diperkenalkan. Tambahan juga, Read mungkin telah menterbalikkan huruf-huruf ini dengan sengaja, mungkin untuk menekankan bahawa huruf-huruf ini mewakili bunyi yang tidak berkaitan, yang kebetulan berlaku dalam sebaran pelengkap .

Kedua-dua belah perdebatan telah mencadangkan alasan lain, termasuk perkaitan dengan pelbagai gaya huruf Rumi (iaitu, huruf /g/ dalam /-ing/, yang sering ditulis dengan gelung bawah dalam tulisan tangan) dan kesan ketinggian huruf pada wajah perkataan, tetapi sama ada Read mengambilkira hal ini masih tidak boleh disahkan. Oleh kerana huruf yang mewakili bunyi yang sama dalam aksara Pantas ciptaan Read kelihatan mirip dengan huruf "Hung", ia diragukan bahawa Read menterbalikkan huruf itu dua kali secara silap—mungkin beliau menganggap yang terbaiknya adalah untuk membiarkannya sebegitu walaupun silap atau tidak, terutamanya kerana sebagai pembetulan /ng/ dalam tulisan yang tergesa-gesa atau melulu, ia mungkin dikelirukan dengan huruf barunya untuk /n/ dalam aksara Pantas.

Keterbalikan lain

Dua huruf lain yang sering didakwa diterbalikkan—secara sengaja atau tidak—ialah Air dan Err. Kedua-duanya ialah ligatur, dan hubungan mereka dengan huruf lain biasanya diambil sebagai bukti keterbalikan ini.

Salah satu kepercayaan yang membawa kepada dakwaan tersebut adalah bahawa Air "𐑺" ialah ligatur huruf Egg "𐑧" dan Roar "𐑮". Berdasarkan penampilan huruf-huruf tersebut, seseorang akan menjangkakan ligatur huruf-huruf ini bercantum di bahagian bawah dan bebas di bahagian atas, namun sebaliknya adalah benar. Kepercayaan lain seperti itu adalah bahawa Err "𐑻" ialah ligatur huruf Up "𐑳" dan Roar "𐑮". Berdasarkan rupa huruf-huruf tersebut, seseorang akan menjangkakan ligatur huruf-huruf ini bercantum di bahagian atas dan bebas di bahagian bawah, namun sekali lagi, sebaliknya adalah benar.